Gambar : Penduduk kampung sibuk menyediakan meja jamuan

Di sebuah daerah kecil di Bahagian Mukah,Sarawak,terdapat perkampungan orang Islam yang dikenali sebagai Igan.

Saban tahun,semasa perayaan Hari Raya Aidil Fitri,terdapat tradisi penduduk kampung di daerah ini sejak zaman pemerintahan penjajah lagi yang dinamakan “Berlanggar Meja”.

Tradisi Berlanggar Meja ini namanya diambil daripada meja-meja yang disambung secara memanjang di tanah lapang atau jalan.Di atasnya,makanan yang dihidangkan adalah sumbangan ikhlas setiap keluarga (rumah) mengikut kemampuan masing-masing.Setiap rumah akan menyediakan sekurang-kurangnya 1 seperah (hidangan 4 orang).

Lebih banyak sumbangan,maka lebih panjanglah meja dan lebih ramailah tetamu yang diundang.

Mengikut beberapa pendapat yang saya kumpul,objektif majlis ini diadakan adalah untuk bersedekah dan mengumpul sanak-saudara,sahabat handai serta saudara seagama yang dekat dan jauh di suatu tempat lapang untuk bermaaf-maafan.Jika dibuat di rumah masing-masing,tidak mungkin akan dapat menampung jumlah tetamu yang besar dan ia akan memakan masa dan belanja yang banyak.

Gambar:Bersedia menyambut tetamu yang datang

Apa yang menariknya tradisi ini ialah,majlisnya begitu tersusun mengikut “format” yang telah diterimapakai daripada tahun-tahun sebelumnya.

Ia bermula daripada kampung yang akan mengadakan “Berlanggar Meja” mengedar jemputan ke kampung-kampung lain di sekitarnya.Lazimnya ia diadakan pada hari ketiga,keempat atau kelima raya.Masa ini adalah sesuai disebabkan keluarga dan sanak saudara dari merata tempat masih berada di kampung bercuti raya.

Kumpulan-kumpulan dari kampung lain yang dijemput akan berkumpul di suatu tempat mengikut ketua masing-masing dan kemudian beramai-ramai bergerak ke tempat yang dituju.Mereka ini akan disambut mesra oleh AJK Pengelola.

Sebelum itu,mereka yang datang masing-masing akan memberi sumbangan dalam bentuk wang ringgit ke dalam bekas tin yang disediakan.Mengenai tin ini pula,selalunya tin biskut yang tinggi dipakai,ditebuk lubang di tengah dan dibalut dengan kertas minyak atau kertas putih.Hasil sumbangan akan digunakan untuk membayar bil elektrik “lampu raya” yang dipasang di jalan kampung sepanjang perayaan.

Gambar : Hamper dan bekas tin untuk sumbangan orangramai

Doa dan surah Al-Quran dibacakan sebagai pembuka majlis sebelum jamuan dimulakan.Semasa jamuan,ahli keluarga penyumbang juadah masing-masing akan bertindak sebagai pramusaji,melayan tetamu yang menjamu selera.Setiap orang yang hadir tidak mengira pangkat akan diberi layanan VIP.Tatkala matahari terik,tetamu akan dipayung dan ada juga yang dikipas semasa makan.

Setelah itu Pengerusi AJK Pengelola akan menyampaikan ucaptama mengalu-alukan kedatangan tetamu dan ucapan terima kasih kepada yang menyumbangkan masa,tenaga dan wang menyediakan juadah untuk semua yang hadir.

Setelah itu wakil-wakil dari kampung-kampung yang hadir akan memberi ucapan balas kepada AJK Pengelola serta penduduk kampung dan seterusnya menjemput pula seluruh penduduk kampung ke Majlis Berlanggar Meja mereka yang diadakan mengikut tarikh dan masa masing-masing.Wakil-wakil kampung yang datang selalunya mereka yang sudah mempunyai kedudukan dan pekerjaan yang baik di bandar.Semasa ucapan ini,diselitkan nasihat serta motivasi kepada yang hadir untuk pembangunan diri serta kampung dan isu-isu yang selalu juga disentuh adalah mengenai perpaduan serta kerjasama sesama penduduk kampung.

 

Gambar:Tetamu mendengar ucapan setelah menjamu selera

Mungkin tidak keterlaluan saya katakan bahawa Majlis Berlanggar Meja yang diadakan saban tahun di Daerah Igan atas semangat perpaduan dan keikhlasan penduduk kampung,lebih baik daripada majlis-majlis beragenda politik yang pernah saya hadiri.

Dan,ia adalah unik.Di Igan.Tidak ada di tempat lain di Malaysia.